Saturday, July 30, 2005

YANG CANTIK ITU BUDI, YANG INDAH ITU BAHASA

Semenjak Sabtu diisytiharkan cuti, saya selalu membawa anak berjalan ke KL. Tidak memandu ke KL cuma menggunakan pengangkutan awam yang disediakan. Tiap-tiap hari ke tempat kerja memandu sendiri, agak memenatkan. Selalu juga saya berangan-angan ada orang yang memandu dan saya duduk di sebelahnya.
Hujung minggu itulah baru dapat saya merealisasikan impian.

Kali pertama saya membawa anak menaiki komuter, memang penuh komuter itu. Kerana orang agak ramai... saya dan anak terpaksalah berdiri. Saya tak kisah, cuma kasihan kat anak perempuan saya.

Tiba-tiba seorang penumpang bangun dan menawarkan tempat duduknya kepada anak saya. Sempat pula dia menyuruh temannya berdiri sekali dan meminta saya mengambil tempat duduknya. Paling mengejutkan mereka adalah pendatang. Saya hanya dapat mengucapkan terima kasih. Yang melayunya hanya duduk diam-diam buat-buat tak pandang. Sedangkan dia duduk di sebelah pendatang itu. Wah... sebiji macam di dalam sebuah iklan yang menimbulkan kontroversi suatu waktu dulu.

Kali kedua menaiki komuter, saya membawa dua orang anak pula. Sama juga keadaannya, kami terpaksa berdiri. Tapi alhamdulillah, ada orang yang rela bangun (orang Melayu) menawarkan tempat duduk. Mungkin disebabkan saya membawa anak-anak. Kalau sendiri agaknya belum tentu lagi.. Terima kasih dik!

Tentang kejadian pertama, saya cuma berpandangan positif sahaja. Pemuda melayu itu tidak memberikan tempat duduknya kerana beberapa kemungkinan:-
- destinasinya agak jauh, sebab masa saya turun dia masih lagi duduk di situ.
- terlalu penat, kerjanya memerlukan dia berdiri selalu.
- atas sebab kesihatan, kalau berdiri lama-lama dia boleh pengsan.
- jika diberikan tempat duduk kepada saya, mungkin dia terpaksa berebut dengan orang lain untuk
mendapatkan tempatnya kembali.
- kerana dilihatnya saya seorang yang sihat, boleh berdiri sepanjang perjalanan.
- sebab2 lain yang dia sendiri tahu....

Bila digabungkan kejadian pertama dan kejadian kedua.... dapatlah dirumuskan bahawa budi bahasa itu milik semua bangsa. Tidak kira dia warganegara atau pun seorang pendatang. Teringat saya akan pantun yang berbunyi;

yang kurik itu kundi
yang merah itu saga
yang cantik itu budi
yang indah itu bahasa

orang berbudi kita berbahasa,
orang memberi kita merasa.

1 Comments:

At 5:42 PM, Blogger Noor Suraya said...

Ija,
seronoknya dapat cuti hari sabtu... kaksu kerja tiap-tiap hari sabtu :(

 

Post a Comment

<< Home